Pendedahan Wan Saiful: PH, jangan sampai rakyat berpaling tadah – Akhbar Satar
“Sebab dalam manifesto PH, mereka telah katakan bahawa mereka mahu elak rasuah kerana rejim sebelum ini telah melakukan rasuah dengan teruk. Kemenangan mereka adalah kerana untuk menolak rasuah.
“Jika ia masih berlaku, rakyat akan marah dan bila Pilihan Raya nanti rakyat akan memikir untuk memangkah parti lain,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI pada Isnin.
Katanya, kepimpinan tertinggi PH perlu memantau setiap daripada pergerakan pemimpin mereka dan menasihati mereka supaya tidak mengulang kesilapan yang dilakukan kerajaan sebelum ini.
Pada Isnin, Wan Saiful Wan Jan mengeluarkan kenyataan mendedahkan bahawa dirinya telah digesa untuk menarik semula laporan polis yang dibuat berkenaan pemalsuan dokumen melibatkan tuntutan ratusan ribu ringgit di pejabat Bersatu Perlis.
Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) itu juga memaklumkan bahawa dia ditawarkan wang besar untuk membantu dalam hal aturan pemberian kontrak kerajaan bernilai puluhan juta Ringgit kepada syarikat yang melibatkan anak pemimpin Bersatu dari Perlis.
Mengulas tindakan itu, Akhbar berkata sepatutnya Wan Saiful melaporkan terus kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebagai badan utama yang bertanggungjawab mengendalikan kes-kes sedemikian.
Jelasnya, individu atau pihak yang membuat pendedahan melalui media massa tidak akan dilindungi oleh Akta Pemberi Maklumat, dan rasional untuk melaporkan terus kepada SPRM atau Polis Diraja Malaysia (PDRM) adalah supaya pihak berkuasa boleh mengambil tindakan segera sebelum kebarangkalian seperti bukti-bukti kes dihapuskan dan saksi melarikan diri tidak berlaku.
Namun, tidak salah katanya sekiranya laporan kepada pihak berkuasa dan pendedahan menerusi media dibuat seiring.